MASJID AMAL MALAYSIA DI AFRIKA
Kerja- kerja pembinaan Masjid baru dengan keluasan 70′ x 70′ sudah pun bermula. Pihak Yayasan Amal Malaysia dan Amal Kedah memohon sumbangan wakaf dari semua untuk siapkan Masjid ini segera sebelum musim hujan bermula. Masjid asalnya hanya yang dibina dengan menggunakan gulungan rumput kering dan batang kayu, serta tidak mampu untuk menampung jemaah yang ramai untuk menunaikan solat. Pihak Yayasan Amal Malaysia mengambil inisiatif terbaik untuk mencari dana bagi membina sebuah masjid baharu di perkampungan tersebut untuk kegunaan pelajar-pelajar tahfiz serta penduduk di 5 buah kampung yang berhampiran.
Mulai 2021, Yayasan Amal Malaysia telah mengorak langkah pertama untuk membina masjid-masjid di semua negara di Afrika bagi menggantikan masjid-masjid yang sedia ada yang terlalu uzur dan perlukan pembinaan semula.
Masjid pertama yang di bina adalah di Perkampungan Hidjelidje, 40 km dari Ndjamena, Ibukota negara Chad.

Pelancaran tabung masjid telah dijalankan dan disambut baik oleh umat Islam di Malaysia dan negara tetangga. Tidak sampai sebulan, wang wakaf dari umat Islam serantau telah cukup untuk pembinaan masjid di perkampungan tersebut. Masjid baru ini dapat menampung lebih 500 orang jemaah pada satu-satu masa dan ia adalah satu keselesaan bagi jemaah di sini dan di rasmikan pada 13 November 2021 oleh Mufti kerajaan Chad, Sheikh Mohammed al-Noor Mohammed al-Hilw. Jika dibandingkan dengan sebelum ini, mereka hanya menggunakan tikar bagi menunaikan solat, kini mereka mendapat alas solat yang lebih baik dan selesa untuk beribadat kepada Allah.
Selain dari itu, pihak Yayasan Amal Malaysia dan Amal Kedah juga telah bersetuju untuk membina sebuah Kompleks Pendidikan Islam yang merangkumi pembinaan masjid serta asrama pelajar di atas tanah seluas 135 meter x 60 meter di Perkampungan Gourdole di pinggir bandar Ndjamena. Tanah tersebut diwakafkan oleh seorang ulama besar di Chad, iaitu Sheikh Soleh Mohamad Ramadhan. Perletakan batu asas telah pun di sempurnakan oleh Presiden Yayasan Amal Malaysia, Tuan Haji Hussin bin Ismail pada 14 November, 2021.
Di samping itu, pembinaan masjid Amal Malaysia yang ke-3 di Perkampungan Dubban, Abeche, Chad kira-kira 900km dari Ndjamena akan di rasmikan oleh Mufti Abeche pada 25 Februari 2022 ini di namakan MASJID IBADUL RAHMAN (مسجد عباد الرحمن). Masyarakat di sana seolah-olah tidak sabar menanti saat mereka dapat beriktikaf dan solat berjemaah di dalam masjid tersebut. Dan terkini, sebuah Maahad tahfiz yang terletak di kampung tersebut juga akan turut berpindah berhampiran masjid ini.

Pihak Amal Malaysia terus membuka peluang menambah saham akhirat sambil membantu saudara Islam kita di seluruh Afrika untuk memiliki Masjid yang lebih selesa dan sempurna. Banyak lagi Masjid yang sedang dalam perancangan Yayasan Amal Malaysia untuk dibina di Benua Afrika dengan keutamaan di negara Uganda, Cameroon, Nigeria serta Chad. Ayuh bersama kami, membantu umat Islam di sana beribadah dengan lebih selesa.

