Soalan Lazim Qurban

Korban ialah penyembelihan haiwan tertentu pada tanggal 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah dengan maksud mendekatkan diri kepada Allah SWT. Perintah berkorban telah disyariatkan oleh Allah kepada kita pada tahun ke 2 hijrah bersamaan dengan perintah solat Eidul Adha dan zakat.

Firman Allah swt yang bermaksud:

Maka solatlah kamu untuk Tuhanmu dan menyembelihlah.” Al-Kautsar:

Menurut pendapat yang masyhur, maksud solat pada ayat itu ialah solat Eidul Adha dan yang dimaksudkan dengan menyembelih ialah berkorban.

Ibnu Jarir mentafsirkan ayat tersebut sebagai berikut:

“Jadikanlah solatmu ikhlas hanya untuk Allah sahaja dengan sama sekali tidak mengharapkan kepada selain daripadaNya. Demikian juga korban yang kamu tunaikan, niatkanlah hanya untuk Allah, tidak untuk berhala, sebagai kesyukuran terhadap apa yang dianugerahkan Allah kepadamu yang tidak terhingga banyaknya.”

Nabi SAW juga telah bersabda yang bermaksud:

Tidak ada suatu amalan yang paling dicintai oleh Allah daripada Bani Adam ketika hari raya Eidul Adha selain menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat (sebagai saksi) dengan tanduk, bulu dan kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak di suatu tempat di sisi Allah sebelum mengalir di tanah. Kerana itu, bahagiakan dirimu dengannya.” (Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Hakim)

Hukum Korban

Hukum berkorban adalah sunnah muakkadah.

Sebahagian ulama mazhab Hanafi berpendapat bahawa berkorban hukumnya wajib bagi orang yang mencukupi nasab zakat. Antara rujukan mereka adalah hadis yang bermaksud:

“Barangsiapa berkelebihan (dalam harta) tetapi tidak meyembelih haiwan korban, janganlah dia mendekati masjidku.” (Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

Fadhilat Korban

 Keistimewaan orang yang berkorban banyak sekali.

Saidina Ali Bin Abi Talib RA telah meriwayatkan bahawa sesiapa yang meninggalkan rumahnya dengan maksud membeli haiwan korban, maka setiap langkah dikurniakan 10 kebajikan, dihapuskan 10 kesalahan, dinaikkan martabatnya 10 darjat.

Apabila dia bercakap-cakap dengan penjual ketika membelinya, maka setiap patah kata yang diucapkannya itu adalah sama dengan satu tasbih. Dan jika dibayar harganya, maka setiap satu dirham, dia beroleh 700 kebajikan. Jika haiwan itu dibaringkan di atas tanah, maka setiap titis darah yang tertumpah, dijadikan oleh Allah 10 malaikat yang mendoakan dan meminta keampunan kesalahannya kepada Allah sampai hari kiamat.

Apabila dagingnya dibahagi-bahagikan, maka setiap suap yang dimakan orang, baginya adalah seperti memerdekakan seorang anak cucu Nabi Ismail AS. Haiwan yang dikorbankan itu kelak akan menjadi kenderaan bagi orang yang mengorbankannya pada hari kiamat.

Dalam hal ini Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:

Muliakanlah korban-korbanmu, kerana nanti dia menjadi kenderaan kamu ketika melalui titian Siratal Mustaqim.”

Selain daripada itu orang-orang yang melaksanakan ibadah korban dipandang sebagai orang yang baik di antara umat Nabi Muhammad SAW sesuai dengan maksud sabda Rasulullah SAW:

“Umatku yang baik ialah mereka yang berkorban dan umatku yang jahat ialah mereka yang tidak berkorban.”

Korban juga dapat menyelamatkan orang yang berkorban dari kejahatan dunia dan akhirat. Dalam hal ini Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:

“Bukankah korban itu termasuk ibadah yang menyelamatkan orang, yakni menyelamatkan orang yang empunyanya daripada kejahatan dunia dan akhirat.”